Apa itu bersahur? Mengapakah kita perlu bersahur? Sebenarnya amalan bersahur adalah sunnah Nabi s.a.w dan diceritakan bahawa Rasulullah tidak pernah meninggalkan bersahur pada Ramadan. Rasulullah berpesan: “Bersahurlah kamu, kerana sesungguhnya dalam sahur itu terdapat keberkatan.’ (Hadis dicatatkan Bukhari dan Muslim ) Bersahur ada keberkatan. Persoalannya keberkatan yang bagaimana? Pertama mari kita tinjau lagi apa yang dikatakan oleh Rasulullah. Dalam kitab Shahih al-Jaami’ ada direkodkan satu pernyataan Nabi yang katanya: “Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (memohon rahmat) ke atas orang-orang yang bersahur.” Masya-Allah, begitulah hebatnya bersahur. Amalan bersahur yang kita laksanakan itu bermakna kita telah menegakkan amalan sunnah Rasulullah dan ini juga satu pembuktian iman dan takwa. Abu Sa’iad Al-Khudri r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah pernah mengatakan: “Bersahur itu semuanya berkat, maka janganlah kamu meninggalkannya sekalipun salah seorang kamu bersahur dengan seteguk air kosong, kerana sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya memohon rahmat kebaikan kepada mereka yang bersahur.” Pernyataan hadis Nabi ini boleh kita rujuk dalam kitab Shahih At-Targhib Wa At-Tarhib.
Ahlul-Kitab tidak pernah makan sahur untuk berpuasa, justeru kita umat Islam diperintahkan untuk membezakan diri dengan mereka. Meskipun tanpa bersahur puasa kita tetap sah di sisi Allah, namun dengan mengamalkan bersahur itu menunjukkan kita menyanjungi sunnah amalan Rasulullah dan mengikuti sunnah Nabi sebagai bukti kecintaan kita kepada baginda. Jika diteliti daripada sudut sains kesihatan moden sekalipun, jelas amalan bersahur itu menepati piawai menjaga kesihatan tubuh dan sebagai persediaan berpuasa di siang hari. Misalnya daripada laporan kajian Dr Theresa Nicklas, seorang pakar kesihatan dari Kolej Perubatan Baylor yang melakukan satu tinjauan terperinci bersama rakannya mendapati mereka yang tidak bersarapan pagi akan berkemungkinan menanggung risiko dua kali ganda kekurangan zat besi dalam darah dan akan membawa kepada penyakit anemia, iaitu sejenis penyakit akibat kekurangan hemoglobin dalam darah. Kajian itu dikeluarkan kepada umum pada 24 September 2001.
Justeru, dapat kita kaitkan di sini bahawa amalan bersahur menepati kehendak sains kesihatan dalam mempersiapkan anggota tubuh dengan perbekalan zat yang sepatutnya. Ini kerana bersahur itu juga adalah bersarapan pagi. Demikian hebatnya sunnah Nabi yang telah lebih 1,400 tahun dulu diamalkan dan baru kebelakangan ini pakar sains moden berjaya menemui khasiat dan keutamaannya kepada kesihatan manusia. Tepatlah dikatakan bahawa semua urusan Allah adalah indah dan ini terbukti dalam amalan bersahur. Bersahur adalah satu ibadah dan melaksanakannya bermakna mencintai sunnah Rasulullah. Ia bukan sekadar memenuhi perut dengan makanan dan minuman.